Tuesday, August 16, 2011

Cadangan Biasiswa Pelajar Cemerlang

 

MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN (MPPK)
PEJABAT MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA,
BANGUNAN PERSATUAN PELAJAR UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA,
81310 UTM SKUDAI, JOHOR DARUL TAKZIM
Tel: 012-2274949       Fax: (607)-5530491    Web: http://jemaahydpmpp.blogspot.com   Emel: ydpmpp@gmail.com

_______________________________________________________

Ruj. Kami : MPPK/KA/CPB (1)                                                                                   17 JUN 2011

Ruj. Tuan  :

CADANGAN DALAM PEMBERIAN BIASISWA KEPADA PELAJAR CEMERLANG. 





Kebelakangan ini isu pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang sedang hangat diperkatakan dan memenuhi dada-dada akhbar. Selaku seorang mahasiswa dan juga salah seorang penerima biasiswa Jabatan Pekhidmatan Awam (JPA), saya terpanggil untuk menyuarakan sedikit pendapat dan pandangan daripada kacamata saya berkaitan permasalahan ini.
Menerusi pelan strategik pengajian tinggi negara (PSPTN) yang dilancarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, antara elemen yang diberi perhatian serius adalah pengantarabangsaan. Dimana pihak kementerian mensasarkan untuk memiliki sekitar 200 ribu orang mahasiswa antarabangsa dari seluruh Negara untuk menuntut di Malaysia.

Menurut maklumat yang dikeluarkan, kini Malaysia menduduki tangga ke 11 dalam pilihan pengajian tinggi dunia dan memiliki sekitar 86 ribu orang mahasiswa antarabangsa yang menuntut disini. Ini membuktikan kualiti yang dimiliki oleh institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia. Oleh itu, saya merasakan kualiti kecemerlangan dari mahasiswa kita kini harus diteruskan dan dikembangkan dalam Negara. Ini secara tidak langsung akan dapat meningkat dan melonjakkan lagi institusi pengajian tinggi di Malaysia. 

Justeru saya ingin menyarankan agar pelajar-pelajar cemerlang dikekalkan untuk melakukan ijazah pertama didalam negara. Namun sekiranya mereka mendapat tawaran daripada universiti terkemuka di luar negara seperti Universiti Harvard dan Cambridge serta bidang kepakaran yang tiada di Malaysia barulah mereka dihantar ke luar negara. Bagi tujuan melanjutkan pelajaran ke luar negara saya merasakan sesuai untuk tujuan lanjutan seperti untuk sarjana dan juga doktor falsafah. Dengan kaedah ini kita dapat mengekalkan pelajar cemerlang dalam negara untuk meningkatkan imej dan kualiti IPT tempatan serta pada masa yang sama kita dapat meningkatkan jumlah penerima biasiswa. 

Persoalan bagaimana jumlah penerima biasiswa dapat ditingkatkan boleh dirungkai dengan mudah iaitu dengan mengekalkan pelajar-pelajar cemerlang didalam Negara. Hal ini kerana kos yang tinggi bagi menanggung pelajar-pelajar ke luar Negara adalah disebabkan kos sara hidup yang tinggi yang harus ditanggung oleh pihak kerajaan. Sebagai contoh kos RM 20 juta adalah cukup untuk menampung 250 orang pelajar maka dengan mengekalkan mereka didalam Negara. Jumlah penerima boleh ditingkatkan menjadi sekitar 700 orang didalam Negara. 

Penambahan jumlah penerima biasiswa akan dapat menyokong pembangunan berterusan pelajar-pelajar cemerlang. Ini secara tidak langsung dapat menyokong budaya mengejar kecemerlangan yang diterapkan kepada anak-anak seawall 3 tahun melalui pra sekolah. Sekiranya merasakan para pelajar cemerlang ini harus diberi pendedahan maka saya menyarankan agar hanya satu atau dua semester sahaja mereka dihantar ke universiti terkemuka luar Negara untuk mengikuti program penukaran pelajar. Ini juga secara tidak langsung tidak membebankan jumlah perbelanjaan yang harus ditampung oleh pihak penaja dan pada masa yang sama mereka juga beroleh pendedahan yang setimpal. 

Pengekalan mereka ini dalam Negara dapat meningkatkan semangat kecintaan kepada Negara serta semangat untuk terus menyumbang kepada agama, bangsa dan Negara. Menerusi kaedah ini jumlah mereka yang gagal pulang untuk menyumbang kepada pembangunan Negara dapat dikurangkan.
Diharap dengan sedikit cadangan yang dilontarkan ini dapat membantu pihak kerajaan dalam mencari formula yang sesuai dalam pemberian biasiswa pada masa akan datang. Saya merasakan idea ini tepat dengan usaha kerajaan dalam menilai semula kaedah yang sesuai dalam pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang. Semoga kita dapat bersama-sama mengharumkan nama Negara menerusi pembangunan gedung-gedung ilmu bertaraf dunia, 

InsyaAllah.

WAN AHMAD HAZMAN BIN WAN DAUD
JURUCAKAP
MAJLIS PERUNDINGAN PELAJAR KEBANGSAAN
012-2274949

No comments:

Post a Comment